Singa Liar Mencari Mangsa
Setelah selesai perjuangan pilihanraya singa-singa BN mula meliar mencari mangsa. Mangsa yang dicari adalah mereka yang dianggap pengkhianat BN yang berani bangun menentang kezaliman dan ketidakadilan yang menjadi tradisi selama ini.
Penduduk-penduduk asal; para peneroka di Kampung Tengah Batu 13, Puchong dihalau keluar daripada tanah mereka. Mereka diberi tempoh selama 30 hari dan bukan itu sahaja tanaman mereka juga harus dipindahkan. Apakah itu caranya untuk mengenang jasa serta budi para peneroka? Di manakah hak-hak mereka? Siapakah lagi yang berani menjadi peneroka jika sikap kerajaan yang hanya menghargai mereka apabila mereka diperlukan dan menghalau mereka apabila terdapat projek besar atau semata-mata untuk memenuhi cita-cita orang-orang tertentu.
Penduduk berpendapat oleh kerana terdapat satu kampung di mana Datuk Lee Hwa Beng hanya mendapat 8 undi sahaja, Datuk Lee mula meliar dan membalas dendam. Beliau kini sibuk memerhatikan DUN Subang Jaya; melihat kembali keputusan-keputusan pilihanraya dan mengambil tindakan-tindakan tertentu bagi memastikan pengundi-pengundi tersebut tidak akan berani lagi mengundi parti pembangkang di pilihanraya yang akan datang. Bukankah lebih baik tenaga tersebut disimpan bagi berkhidmat kepada rakyat?
Jika kerajaan tidak boleh menjaga hak asasi rakyat, kerajaan apakah itu? Haruskah kita terus ditindas dan ditipu oleh kerajaan serta pihak media yang selalu tidak berani menceritakan perkara yang sebenar.
Ketika kerja-kerja bancian dijalankan, tanah para penduduk sengaja dibanci, disukat agar menjadi lebih kecil. Ini untuk memastikan adanya tanah yang lebih diakhir proses bancian tersebut. Tidak diketahui untuk apakah tanah yang selebihnya itu. Mungkin untuk dijual kot.
Bermacam-macam penyelewengan telah berlaku di Puchong dan semuanya berlaku dengan cukup senyap seakan-akan orang yang menjalankan penyelewengan tersebut terlalu handal dan tidak tertakluk kepada undang-undang negara. Penduduk yang dahulunya bukan peneroka tiba-tiba mendapat tanah serta geran tanah; manakala kebanyakan penduduk-penduduk asal belum mendapat geran tanah mereka sehingga kini. Peta lot tanah-tanah tersebut pula adalah seperti iklan di televisyen "kejap ada kejap takda." Penduduk di situ pun kejap mempunyai tempat tinggal dan kejap lagi takda.
Ada penduduk pula yang berasa sungguh hairan dan masih tertanya-tanya macam mana tanah mereka boleh terjual tetapi geran tanah tidak pernah sampai ke tangan mereka. Masalah demi masalah mula timbul dan inilah apa yang cuba disorokan oleh pentadbiran BN dan Datuk Lee Hwa Beng selama ini. Kami peneroka telah tinggal di tanah tersebut selama berpuluh-puluh tahun dan sekarang tiba-tiba dihalau. Ke manakah kami hendak tuju? Jika kami kaya dan senang seperti para kroni tentunya mudah bagi kami untuk membeli rumah bahkan banglo yang baru!
Sungguhpun Datuk Lee Hwa Beng boleh berbuat apa sahaja terhadap kami, tetapi kami tetap dengan pendirian kami! Kami bukan pengejut dan kami tetap akan memberikan undi kepada pihak pembangkang. Lawan tetap lawan. Apa yang BN boleh buat ialah menyebabkan kami kehilangan tempat tinggal tetapi perjuangan dan semangat kami tidak boleh dipatahkan!
"Jika takut usah bicara perjuangan"
Penduduk Kampung Tengah Batu 13, Puchong